SEJARAH

Sejarah | 17 February 2016

 SEJARAH JENGKA

 

Pada tahun 1967 secara rasminya Jengka telah dibuka dan telah ditadbir oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) bagi tempoh tiga dekad iaitu pada tahun 1967 sehingga 1997. Selepas LKWJ dibubarkan pada tahun 1997, legasi pentadbiran Jengka telah diserahkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) dan diurustadbir sehingga ke hari ini.

Selain itu, Wilayah Jengka merupakan penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) paling terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Di samping itu juga, Jengka turut dikenali sebagai Segitiga Jengka disebabkan kedudukannya yang meliputi tiga buah daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran.

Setiap penempatan di kawasan Jengka didiami oleh 300 hingga 600 buah keluarga sebagaimana penempatan di tanah rancangan Felda yang lain. Di samping itu juga, penduduk lelaki Jengka sangat sinonim dan dikenali sebagai ‘peneroka Felda’ manakala gelaran ‘penerokawati’ begitu dekat di hati dengan golongan isteri. Seorang pengurus tanah rancangan Felda akan dilantik oleh pihak pengurusan FELDA untuk memainkan peranan sebagai penyelia dan pembawa amanah kepada kawasan rancangan tersebut. Selain itu, majoriti peneroka Jengka berasal dari serata negeri di Malaysia iaitu kebanyakan dari Utara, Selatan, Pantai Barat dan juga Pantai Timur. Maka dengan ini, wujudnya kepelbagaian agama,kaum,budaya dan adat dengan kedatangan pelbagai lapisan masyarakat sebagai peneroka ke tanah rancangan FELDA.

Terdapat 25 buah Felda di Wilayah Jengka yang ditandai dengan nombor bermula nombor 1 hingga 25 dan nombor yang diberikan adalah berdasarkan kawasan penempatan awal yang dibuka. Selain itu, setiap Jengka tersebut turut memiliki nama berdasarkan bunga-bungaan iaitu sebagai mengenalpasti kawasan yang dibuka awal iaitu dengan mengikuti turutan abjad bunga-bungaan tersebut. Hal ini boleh dilihat apabila Jengka pertama yang dibuka adalah Jengka 1 dan diakhiri dengan Jengka 25. Berikut adalah senarai urutan setiap Jengka iaitu bermula dengan Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2 (Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6 (Keembung), Jengka 7 (Kenanga), Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10 (Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12 (Melor), Jengka 13 (Puteri Malu), Jengka 14 (Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21 (Teratai), Jengka 22 (Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24 dan Jengka 25. Namun begitu, terdapat juga tanah rancangan Felda di Jengka tidak menggunakan nama Jengka kerana penempatan kawasan tersebut adalah antara yang terawal dari pembukaan Jengka. Antara kawasan tersebut ialah Felda Kampong Awah (1963), Felda Ulu Jempol (1965) dan Felda Sungai Nerek (1967).

(Sumber: http://ms.wikipedia.org)

 

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA PAHANG DARUL MAKMUR

Bandar Pusat Jengka atau Bandar Jengka adalah merupakan inspirasi bekas perdana menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak bin Hussien bertujuan mewujudkan satu bandar yang terdiri daripada 100 peratus orang Melayu. Dengan kepesatan arus kemodenan dan persaingan perniagaan pada masa kini di Bandar Pusat Jengka, monopoli orang Melayu dalam bidang perniagaan telah sedikit berkurangan apabila terdapat peniaga bukan Melayu bergiat aktif dalam meluaskan perniagaan mereka.

Semasa Hari Peneroka yang berlangsung pada 7 Julai 2011, detik bersejarah telah tercipta apabila Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak telah menamakan semula Bandar Pusat Jengka atau Bandar Jengka sebagai Bandar Tun Abdul Razak Jengka sempena mengenang dan memperingati jasa ayahanda beliau yang merupakan pengasas FELDA.

Pelbagai kemudahan perkhidmatan dan infrastruktur telah disediakan yang terdapat di Bandar Tun Abdul Razak Jengka bagi dinikmati masyarakat setempat seperti Hospital Jengka, Pejabat Pos, Balai Bomba, Balai Polis, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Jengka, Universiti Teknologi Mara (Uitm) Cawangan Jengka,Institusi Perbankan, Sekolah-sekolah dan pelbagai lagi.

(Sumber: http://ms.wikipedia.org)

 

STADIUM TUN ABDUL RAZAK JENGKA ( STAR )

Kini, dengan terbinanya Stadium Tun Abdul Razak (STAR) yang berkapasiti memuatkan lebih 20,000 orang penonton pada satu-satu masa, menjadi STAR sebagai tarikan utama pengujung ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang berlangsung. Selain itu juga, STAR berperanan sebagai stadium tuan rumah (Home) kepada pasukan Liga Super FELDA United FC. STAR yang gah ini memiliki ciri rumput tiruan gred 2 bintang yang diiktiraf Badan Bola Sepak Dunia (FIFA).

 

Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka Pahang

(Sumber Gambar: Facebook Suara Penduduk Jengka)

 Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka Pahang                    

(Sumber Gambar: HazliSaon)

 

 

KAPASITI PENONTON STADIUM STAR

 

BAHAGIAN

BILANGAN

TETAMU DIRAJA / KEHORMAT

5

VVIP

                   30

VIP

60

JEMPUTAN VIP

200

GRANDSTAND

3,604

TERBUKA

15,779

MEDIA BERMEJA

48

MEDIA

              226

BANGKU SIMPANAN

48

JUMLAH

20,000

Stadium Tun Abdul Razak Jengka (STAR) telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2016 yang telah diadakan di Perkarangan Stadium STAR, Jengka, Pahang.

(Sumber: Majalah Peneroka Bil. 2/2016)

 

ASAL USUL NAMA JENGKA

 

Nama Jengka diambil berdasarkan kewujudan sebatang sungai yang sentiasa mengalir di dalam kawasan Jengka yang bernama Sungai Jengka. Namun begitu, terdapat juga beberapa mitos lain yang menceritakan asal usul nama “Jengka”.

Mitos 1

Diceritakan sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak berhampiran sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka. Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.

Mitos 2

Adapun pada suatu hari, seorang perempuan Asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu dibawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantaran sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.

(Sumber: http://ms.wikipedia.org)